PENGALAMAN MEMASUKI KELAS BBK3410.
Tanpa ku sedari, tanggal 12/2/2020, aku telah melangkah ke semester 4 di UPM (Universiti idaman abah buat diriku) Pada hari ini, genap 2 hari arwah Abam Bocey (pelawak dunia industri Malaysia) pergi meninggalkan dunia. Al-Fatihah (dibaca) buatnya. Pemergiannya amat ditangisi bahkan memberi kesan mendalam kepada semua orang lebih-lebih lagi apabila mengetahui bahawa arwah Syed Umar Mokhtar atau lebih mesra disapa Abam Bocey adalah seorang pelawak yang dermawan. Pemergiannya membawa khayalan hangat diriku di dalam kelas Penglahiran Bakat Kreatif (BBK3410) seolah-olah masih lagi sedang terkenang dan mengahayati telatah jenaka lucunya. Tidak lama kemudian, pintu dikuak uweekk boom dan lamunanku terhenti. Ternyata telah hadir seorang pensyarah yang diberi nama serta gelaran Prof. Madya Dr. Kamariah Binti Kamaruddin . Beliau bukan sahaja seorang pensyarah, bahkan seorang ikon terkenal dalam dunia penulisan sastera lebih-lebih lagi apabila beliau menerima Anugerah Seni dan Kreativiti baru-baru ini. Kehadirannya kini membisukan semua rakan sekelasku seolah-olah beliau seorang yang tegas dan garang. Tetapi tanggapan itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah meleset jauh apabila beliau sebenarnya seorang yang sangat lemah lembut dan baik hati. Tutur katanya bagaikan perisai kekebalan dalam jati diri anak muda. Dr. Kamariah menekankan tentang disiplin yang padu dalam kalangan mahasiswa khususnya dalam menjadi seorang penulis mahupun pemimpin kepada diri sendiri. Bait tutur katanya dihadam baik oleh semua pelajar di dalam dewan kuliah yang nan indah itu kerana setiap kata yang dilontarkan adalah persis seorang ibu yang membisikkan nasihat serta kasih sayang kepada anaknya. Setelah itu, aku dan rakan-rakan diminta untuk memperkenalkan diri secara individu di hadapan. Maha Suci Allah, betapa gugupnya perasaan ketika itu menanti saat diri pula tampil ke hadapan. Ketika rakan-rakan sedang memperkenalkan diri, aku dengan penuh setia dan fokus, tiba-tiba hatiku tertarik dengan penampilan seorang pelajar lelaki yang tampan berkulit putih, mukanya lembut tidak berjanggut, bahkan penampilannya juga segak bergaya. Pakaian dan wajahnya begitu tenang untuk dilihat seolah-olah si jejaka sedang berkopiah dan berjubah putih sedangkan si dia hanyalah sedang memakai T-shirt berkolar putih dan berseluar jeans. Sedari hal itu, aku dengan lekas keluar dari dunia fantasi dan ilusi itu lantas diriku tertawa kecil sendirian bagaimanakah aku boleh membayangkan sedemikian. Perhatianku kini dialihkan sepenuhnya kepada sesi pengenalan diri. Setelah beberapa ketika, aku juga selesai memperkenalkan diri kepada rakan sekelasku. Dengan sepenuh bangga yang dicampuri perasaan cuak membuak-buak, aku tampil memberitahu nama yang diberi adalah Nurul Suhana Binti Mohd Anuar. Selesai sesi itu, sesi pembelajaran juga tamat bagi kursus itu. Cukuplah pada hari itu kenangan dan pengalaman yang indah apabila kelas kuliah berlangsung dengan begitu santai. Pengisian kelas kuliah pada hari itu adalah penerangan umum mengenai pembelajarann Bakat Kreatif yang akan dijalankan sepanjang semester 4 dan sesi pengenalan diri.
No comments:
Post a Comment